Malaysia

“Jadi hakim tak perlu disukai ramai, cukup adil” – Tan Sri Nallini bersara wajib

Selepas 18 tahun di badan kehakiman dan berakhir sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan paling kanan, Tan Sri Nallini Pathmanathan menutup kerjayanya dengan satu mesej jelas di mana hakim tidak perlu menjadi popular, tetapi perlu melakukan perkara yang betul.

“Apa yang orang cakap mungkin akan beri kesan sedikit, tetapi akhirnya, jika anda tahu sebab mengapa anda membuat keputusan sebegitu dan anda telah menjelaskannya, itu akan memberi anda pegangan yang kuat, kerana anda tahu apa yang anda sedang lakukan.

“Sering kali orang tidak membaca penghakiman secara penuh. Mereka hanya baca sebahagian kecil. Menjadi populis (disukai ramai) bukanlah perkara yang paling penting. Apa yang penting adalah melakukan perkara yang betul,” katanya.

Dilahirkan pada 1959 dan dibesarkan di Ipoh, beliau pada asalnya bercita-cita menjadi doktor, mengikuti jejak majoriti ahli keluarganya yang merupakan pengamal perubatan.

Beliau melanjutkan pelajaran ke United Kingdom sejak usia remaja dan memperoleh ijazah pertama dalam fisiologi. Namun bidang itu tidak memberikan kepuasan yang dicari.

“Saya bermula dengan hanya mahu menceburi bidang perubatan, dan saya fikir itu adalah jalan untuk saya. Saya berasa sangat kecewa apabila tidak dapat melakukannya, lalu saya beralih ke bidang undang-undang, tetapi ternyata undang-undang adalah jauh lebih baik.

“Jadi, maksud saya, rintangan yang kita rasa apabila kita tidak mendapat apa yang kita mahu semasa muda, ia tidak semestinya bermakna anda telah gagal atau anda telah mengambil jalan yang salah, kerana apa yang penting adalah bagaimana anda menjadikan perkara yang anda lakukan seterusnya itu benar-benar bermakna,” jelas Nallini.

Sebagai seorang wanita yang berketurunan India dalam dunia litigasi yang ketika itu didominasi lelaki, beliau mengakui wujud persepsi bahawa wanita kurang sesuai untuk kerja-kerja mahkamah.

Namun beliau sering berpegang kepada prinsip yang dikaitkan dengan Mohamed Suffian Mohamed Hashim bahawa apabila seseorang menjadi hakim, warna kulit, jantina dan latar belakang harus diketepikan.

Bagi Tan Sri Nallini, kejayaan bukan soal jawatan tertinggi yang pernah disandang.

“Ia adalah rasa kepuasan diri bahawa anda sebenarnya telah melakukan yang terbaik, bahawa anda telah melakukan yang terbaik untuk negara disebabkan oleh amanah yang diletakkan kepada anda, di mana anda telah membuat keputusan yang anda rasa betul untuk negara, untuk rakyat, dan untuk pihak-pihak yang berada di hadapan anda.

“Saya rasa itulah yang memberikan kepuasan terbesar. Ia adalah satu keistimewaan besar untuk diamanahkan dengan sesuatu yang sepenting ini,” tambahnya.

Beliau yang bersara wajib pada 22 Februari lepas sebaik mencapai usia persaraan wajib 66 tahun, disifatkan sebagai penyumbang terhadap perkembangan undang-undang awam dan administratif.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker