Singapura tak senang duduk lihat ringgit mengukuh, apatah lagi orang Malaysia bekerja di sana

Satu komen santai ahli politik Singapura mencetuskan perhatian apabila mengakui asas ekonomi Malaysia semakin kukuh, sekali gus menjadikan pengukuhan ringgit sesuatu yang sukar diabaikan republik itu.
Menerusi hantaran di Facebook, ahli Parti Kuasa Rakyat (PPP), Derrick Sim meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bertenang susulan pengukuhan nilai mata wang ringgit.
Nilai ringgit dilaporkan mengukuh ketara berbanding dolar Singapura, daripada sekitar RM3.18 kepada RM3.15 dalam tempoh dua minggu, manakala kadar semasa kini sekitar RM3.16 bagi satu SGD, jauh lebih baik berbanding RM3.29 pada tempoh sama tahun lalu.
Perkembangan ini berlaku seiring lonjakan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia sebanyak 47 peratus, dengan banyak syarikat global mula memindahkan rantaian bekalan keluar dari China dan memilih Malaysia sebagai destinasi utama.
Dengan asas ekonomi yang semakin kukuh dan aliran pelaburan berterusan, Malaysia kini dilihat bukan sahaja kembali mendapat keyakinan pelabur global, malah mula membuat jiran terdekat berasa tidak selesa.




