Malaysia
Tak adil jika Bella perlu korbankan kerjaya demi perkahwinan – Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan adalah tidak adil jika pasangan hidupnya, Bella Astillah, perlu mengetepikan kerjaya seni selepas berkahwin hanya demi memenuhi jangkaan masyarakat.
Menurut Syed Saddiq, ada yang beranggapan Bella tidak lagi boleh berlakon, menyanyi atau tampil di khalayak ramai selepas berkahwin, namun beliau menegaskan perkara itu tidak adil.
Katanya, setiap individu berhak mengejar impian sendiri dan beliau sentiasa menyokong cita-cita Bella untuk terus aktif dalam industri hiburan.
Syed Saddiq, 33, turut mengakui beliau bimbang pendiriannya yang lantang dalam isu semasa boleh memberi kesan kepada kerjaya Bella, selain menafikan dakwaan kononnya beliau mahu membawa Bella ke dunia politik.




