Ibu Zayn Rayyan didapati bersalah di mahkamah

Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan anaknya hingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah, manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.
Kesalahan itu dilakukan antara 5 dan 6 Disember 2023 di kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, lokasi tempat Zayn Rayyan, 6, ditemukan meninggal dunia berhampiran sungai.
Ismanira didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya. Mahkamah menangguhkan prosiding bagi mendengar rayuan hukuman.




