LHDN bongkar kartel jual beli kenderaan mewah, gagal lapor RM70 juta pendapatan

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membongkar kegiatan sebuah syarikat yang dipercayai terlibat dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah selepas didapati menyembunyikan pendapatan kira-kira RM70 juta daripada transaksi jualan.
Menerusi satu kenyataan media, operasi penguatkuasaan serentak dilakukan di tiga lokasi di Lembah Klang membabitkan premis syarikat, kediaman pengarah dan sebuah firma audit bagi mendapatkan dokumen serta bukti ketidakpatuhan cukai.
Syarikat dan pengarahnya kini disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 susulan pelanggaran serius yang menjejaskan hasil negara.
LHDN turut menegaskan tindakan ini sebahagian daripada operasi bersasar memerangi kartel dan sindiket bertransaksi besar, khususnya sektor bernilai tinggi seperti kenderaan mewah.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, mengesahkan siasatan ini sebagai langkah memperkukuh pematuhan cukai dan memastikan pihak yang mengelak cukai tidak terlepas daripada tindakan.




