Tiga lelaki larikan peti besi berisi RM2 juta dari rumah di Hulu Klang, diburu polis

Polis memburu tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan melarikan sebuah peti besi bernilai kira-kira RM2 juta di Taman Hillview, Hulu Klang, pada 26 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, memaklumkan laporan diterima pada hari kejadian selepas seorang pekerja mendapati pintu belakang rumah tercabut dan sebuah peti besi hilang dari bilik tidur utama.
Rakaman CCTV menunjukkan tiga suspek memikul peti besi berkenaan pada jam 9.30 pagi dan video berdurasi 38 saat itu tular di media sosial.
Polis turut menahan enam warga asing termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan, namun kesemua mereka didapati tidak terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan ketiga-tiga suspek.




