Remaja 13 tahun koma, nahas babit peserta RXZ ‘members’ 8.0

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun kini berada dalam keadaan koma selepas mengalami kecederaan melecur hampir 60 peratus badan dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan seorang peserta program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.
Menurut laporan, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang peserta RXZ Members 8.0 merempuh motosikal yang dinaiki mangsa bersama ibunya. Pelanggaran itu menyebabkan kebocoran minyak sebelum motosikal terbabit terbakar, mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan melecur yang serius.
Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan doktor meletakkannya dalam koma akibat rawatan bagi memudahkan prosedur pembersihan serta rawatan luka melecur.
Pasukan perubatan turut memantau keadaannya dengan rapi berikutan risiko jangkitan yang tinggi serta keperluan mendapatkan tisu bagi menutup kawasan kulit yang terbakar.




