Trump ugut naikkan tarif terhadap negara halang AS ‘rampas’ Greenland

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran kemungkinan mengenakan tarif perdagangan terhadap negara yang tidak menyokong hasratnya untuk mengambil alih Greenland, wilayah autonomi di bawah Denmark.
Ancaman itu disuarakan dalam satu mesyuarat di White House, namun Trump tidak memperincikan negara yang terlibat atau mekanisme undang-undang yang akan digunakan.
Cadangan berkenaan menerima tentangan daripada Denmark, Greenland, beberapa negara lain serta penggubal undang-undang di AS. Greenland walaupun berpopulasi kecil, mempunyai sumber asli bernilai dan kedudukan strategik antara Amerika Utara dan Artik, termasuk sebagai lokasi pemantauan keselamatan.
AS ketika ini menempatkan lebih 100 anggota tentera di pangkalan Pituffik dan mempunyai hak ketenteraan berdasarkan perjanjian sedia ada, namun Trump berpendapat pemilikan penuh diperlukan bagi menghadapi ancaman Rusia dan China.




