Jangan tinggal di Malaysia jika enggan terima Bahasa Melayu – Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menegaskan bahawa bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.
Bertitah ketika pembukaan Sidang Parlimen 2026, baginda menekankan bahawa sebarang pengenalan atau pengiktirafan sistem pendidikan baharu perlu mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan serta menjadikan bahasa Melayu dan sejarah Malaysia sebagai teras pembelajaran.
Menurut baginda, sistem pendidikan berperanan penting dalam pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara, justeru tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan serta realiti negara berbilang kaum.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa pihak yang enggan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seharusnya menghormati asas negara, malah menyarankan mereka yang menolak kedudukan bahasa tersebut agar tidak tinggal di Malaysia.




