Polis buru dua perompak kedai emas Nilai, rompakan RM60,000 disumbat dalam beg Lalamove

Polis giat memburu dua lelaki yang merompak sebuah kedai emas di pasar raya Bandar Baru Nilai, malam tadi, selepas motosikal yang digunakan suspek ditemui ditinggalkan dalam longkang kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya memaklumkan motosikal Yamaha Y15 berwarna biru itu ditemui pagi tadi dan kini disiasat termasuk semakan nombor pendaftaran serta pemiliknya.
Bahagian Siasatan Forensik (D10), Bahagian Siasatan Khas (D9) IPK Negeri Sembilan dan detektif IPD Nilai turut digerakkan bagi menjalankan siasatan saintifik di sekitar lokasi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, dua suspek berpelitup muka melarikan 15 dulang emas bernilai kira-kira RM60,000 dengan menyumbat barang kemas berkenaan ke dalam beg penghantar Lalamove sebelum melarikan diri menaiki motosikal.
Siasatan turut mendapati seorang suspek dipercayai membawa pistol, namun tiada tembakan dilepaskan. Polis masih memburu kedua-dua suspek dan siasatan diteruskan.




