PTPTN: Hanya bergaji tinggi culas bayar pinjam disekat ke luar negara

Sekatan perjalanan oleh PTPTN hanya dikenakan terhadap peminjam bergaji tinggi yang benar-benar culas dan memenuhi kriteria ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, berkata langkah itu bukan menyasarkan graduan baharu atau mereka yang belum mempunyai pendapatan tetap, sebaliknya bagi memastikan keadilan serta kelestarian dana pendidikan negara.
Beliau menjelaskan, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu peminjam, termasuk tempoh tangguh bayaran selama 12 bulan selepas tamat pengajian bagi memberi ruang mendapatkan pekerjaan dan pendapatan stabil.
Selain itu, peminjam boleh memohon penstrukturan semula bayaran sehingga umur 60 tahun mengikut kemampuan kewangan.
Penangguhan bayaran juga dibenarkan sehingga dua tahun bagi yang belum bekerja atau tiada pendapatan, serta sepanjang tempoh pengajian bagi mereka yang melanjutkan pelajaran.




