Azam Baki usaha dilantik jadi senator selepas kontrak SPRM tamat – Bloomberg

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki dilaporkan sedang berusaha mendapatkan pelantikan sebagai senator selepas kontraknya berakhir pada 12 Mei ini, menurut Bloomberg.
Dalam masa sama, laporan itu menyebut Perdana Menteri Anwar Ibrahim didakwa mahu pendedahan laporan siasatan pegangan saham Azam ditangguhkan sementara siasatan berasingan berkaitan dakwaan “mafia korporat” dimuktamadkan.
Kabinet sebelum ini mengarahkan siasatan terhadap pegangan saham Azam susulan dakwaan melanggar had ditetapkan, dengan hasilnya kini dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara.
Bloomberg turut melaporkan Azam dijangka berundur selepas tamat tempoh perkhidmatan, manakala isu pelantikan senator menjadi perhatian kerana ia memerlukan kelulusan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Siasatan berasingan yang masih berjalan melibatkan dakwaan rangkaian ahli perniagaan dan pegawai penguat kuasa, yang turut mencetuskan reaksi meluas sebelum ini.




