Network School tangguh pelaburan di Malaysia, mohon jaminan kerajaan

Network School menangguhkan semua pelaburan baharu di Malaysia selepas kontroversi dakwaan syarikat itu melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI). Pengasasnya, Balaji Srinivasan, berkata keputusan itu dibuat sehingga pihaknya menerima jaminan bahawa insiden sama tidak akan berulang dan tidak menjejaskan keyakinan pelabur asing.
Beliau berkata dakwaan yang dimuat naik akaun media sosial tanpa nama, sehari sebelum Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Julai, membawa kepada siasatan di kampus Network School di Forest City, Johor pada 14 Julai.
Namun, Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan pada 15 Julai bahawa 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah.
Balaji turut mendakwa siasatan itu memberi kesan kepada reputasi syarikat sehingga beberapa pelabur dan syarikat teknologi antarabangsa menangguhkan rancangan pelaburan mereka di Malaysia. Menurutnya, Network School telah melaburkan lebih RM100 juta di Forest City tanpa menerima dana kerajaan.
Beliau juga memohon pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memulihkan keyakinan pelabur.
Katanya, jika Malaysia tidak lagi mengalu-alukan pelaburan mereka, syarikat itu bersedia mengalihkan modal ke negara lain.



