Kisah sayu pelajar yatim piatu undang sebak, KPT tanggung kos pengajian

Kisah menyayat hati seorang pelajar yatim piatu yang mendaftar hari pertama di Universiti Utara Malaysia (UUM) tanpa ditemani keluarga mahupun waris, meraih simpati rakyat Malaysia.
Putera Iman Shah Shahiran, 19, yang kini bergelar mahasiswa Sarjana Muda Pemasaran di UUM, hadir mendaftar dengan penuh kesayuan selepas kehilangan ibu pada 2019 dan ayah tercinta bulan lalu, hanya beberapa minggu sebelum menjejakkan kaki ke universiti.
Anak tunggal itu tiba di Stesen Kereta Api Arau dengan beg besar dan tanpa keluarga menemaninya, sekadar bersendirian mencari jalan ke Sintok.
Namun, takdir mengaturkan bahawa kakitangan universiti menunggunya di stesen dan segera membantu proses pendaftaran sebelum saat akhir.
Berbekalkan CGPA 3.71 dari Kolej Matrikulasi, Putera memilih untuk bangkit meskipun kehilangan tempat bergantung.
Dia kini melangkah sebagai salah seorang daripada 4,549 pelajar baharu UUM, dengan harapan pendidikan mampu mengubah masa depan.
Keprihatinan pihak kerajaan turut disokong ramai apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan akan menanggung sepenuhnya yuran Putera Iman melalui Program SULUNG 2.0 sehingga tamat pengajian, selain menyediakan komputer riba dan elaun bulanan bagi meringankan bebannya.




