MyKad boleh dipakai untuk BUDI95 selagi tiada salah guna

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tiada sekatan untuk rakyat Malaysia menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah Program Budi Madani RON95 (Budi95), selagi mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Orang ramai diingatkan supaya tidak menyerahkan MyKad kepada pihak lain untuk sebarang urusan, termasuk pembelian bahan api bersubsidi, kerana ia boleh membawa implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti.
Dalam masa sama, JPN menjelaskan kenyataan sebelum ini berkaitan siasatan kes penyalahgunaan MyKad bukan bertujuan menyekat rakyat daripada menikmati subsidi, sebaliknya bagi memastikan undang-undang dipatuhi.
JPN turut menggesa orang ramai supaya merujuk sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu bagi mengelakkan salah faham mengenai kes yang disiasat melibatkan dakwaan penggunaan empat MyKad oleh individu lain di Kelantan.



