Lelaki maut dalam stor bukan staf UPSI, disyaki serangan jantung

Seorang lelaki yang ditemui maut selepas terperangkap dalam stor berkunci di fasiliti sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi disahkan bukan kakitangan universiti.
Mangsa, Mohd. Radzi Ariffin, 53, merupakan pekerja syarikat swasta UPSI Sports Bowling yang beroperasi di kampus berkenaan.
Kejadian dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak pada 1.57 pagi sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam stor dan disahkan meninggal dunia.
Mangsa dipercayai terperangkap dalam stor berkenaan, dengan punca kematian disyaki akibat serangan jantung. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, manakala bedah siasat sedang dijalankan di Hospital Slim River.
Pihak universiti memaklumkan syarikat terlibat akan mengeluarkan kenyataan lanjut, selain bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada keluarga mangsa.




