Gaji kru kabin penerbangan hanya cukup makan – NUFAM

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendedahkan ramai kru kabin kini berdepan situasi gaji hanya cukup menampung keperluan asas susulan peningkatan kos sara hidup.
Menurut NUFAM, kenaikan harga bahan api dan barangan harian memberi tekanan besar kepada pekerja industri penerbangan, terutama kos ulang-alik ke lapangan terbang yang semakin tinggi.
Sehubungan itu, kesatuan berkenaan menggesa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air menyemak semula struktur gaji, termasuk menaikkan gaji pokok serta elaun harian dan pengangkutan.
NUFAM turut mencadangkan kerajaan memperluaskan bantuan seperti BUDI95 kepada pekerja lapangan terbang yang terkesan, khususnya dalam sektor pengangkutan dan logistik.
Mereka turut menekankan keperluan perbincangan segera bersama Kementerian Pengangkutan, sambil memberi amaran kegagalan menangani isu ini boleh menjejaskan moral pekerja serta kualiti perkhidmatan industri penerbangan.




