WYIE 2026: Murid SJKT Kinrara raih kejayaan antarabangsa, Vigneswaran puji inovasi

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kinrara Estate mencipta kejayaan membanggakan di Pameran Pencipta Muda Dunia 2026 (WYIE) di Kuala Lumpur apabila meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Kumpulan murid Tahun 4 itu membangunkan inovasi “GlucoGuard – Smart Night Alert System”, iaitu alat amaran awal bagi pesakit diabetes ketika tidur.
Rekaan berkenaan berjaya meraih pingat emas, Anugerah Khas Arab Saudi serta Anugerah Inovasi Terbaik peringkat sekolah rendah.
Projek tersebut dibangunkan di bawah bimbingan guru Eeswari, melibatkan murid Adhisha Moorthy, Siranjeevani Aghatheeswaran dan Eesha Vijendran.
Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran turut memuji kejayaan tersebut, menyifatkannya sebagai kebanggaan kepada masyarakat India Malaysia dan negara, serta contoh terbaik kepada generasi muda dalam bidang STEM.




