Penagih dadah wanita meningkat, hampir 9,000 orang direkodkan tahun lalu

Jumlah wanita yang dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Malaysia meningkat kepada 8,926 orang pada 2025, berbanding 8,638 orang pada 2024.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, golongan berusia 19 hingga 39 tahun mencatat jumlah tertinggi iaitu 6,193 orang. Ia diikuti kumpulan berusia 40 hingga 59 tahun seramai 2,567 orang dan remaja seramai 166 orang.
Menurut beliau, Amphetamine-Type Stimulants (ATS) menjadi bahan terlarang paling banyak digunakan dalam kalangan wanita, melibatkan 7,588 orang. Ia diikuti opiat 762 orang, ganja 138 orang, pil psikotropik 119 orang dan bahan lain termasuk ketum serta kokain seramai 319 orang.
Ruslin berkata, wanita berdepan cabaran lebih kompleks untuk mendapatkan rawatan termasuk kekangan kewangan, pengangkutan serta kawalan daripada pasangan yang turut terlibat dengan dadah.
Susulan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan 1983 yang berkuat kuasa 22 Ogos 2025, wanita boleh mendapatkan rawatan secara sukarela secara percuma melalui komuniti atau PUSPEN.
AADK turut menyediakan perkhidmatan Mobilisasi Rawatan Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT) ke kawasan pedalaman.




