Dua remaja hilang ditemui selamat, kini jalani rawatan dan kaunseling

Dua sepupu yang dilaporkan hilang sejak malam Khamis sebelum ditemui selamat di Machang pada petang Jumaat kini menerima rawatan perubatan dan kaunseling di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, Nor Syahzanani Mohd Sulaiman, 15, dan Nur Kaseh Nalisya Mohd Ramzul Nazrie, 16, sedang menjalani pemeriksaan oleh pasukan pakar perubatan hospital berkenaan melalui Pusat Krisis Bersepadu (OSCC).
Menurut beliau, kedua-dua remaja itu bukan sahaja diberikan rawatan kesihatan, malah turut menerima sokongan psikologi bagi membantu memulihkan semangat mereka selepas kejadian tersebut.
Sebelum ini, dua remaja terbabit dilaporkan hilang dan ditemui di sebuah inap desa di Machang, kira-kira 25 kilometer dari kediaman mereka di Kampung Baloh, Kok Lanas, selepas 32 jam keluarga membuat laporan polis.
Susulan penemuan itu, polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan, dengan dua suspek direman selama lima hari manakala tiga lagi direman selama dua hari.




