113 pelarian keluar dari IPK Kuala Lumpur, ditempatkan di tiga negeri

Seramai 113 pelarian yang ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dipindahkan ke penempatan sementara di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, 66 pelarian ditempatkan di Kuala Lumpur, 29 di Selangor dan 18 lagi di Pulau Pinang. Kesemua mereka kini berada di bawah jagaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mereka sebelum ini dibawa ke IPK Kuala Lumpur pada 27 Julai selepas berkumpul di luar pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling. Seramai 110 daripada mereka ialah pelarian Rohingya, manakala tiga lagi warga Iraq, Somalia dan Indonesia.
Polis memaklumkan semua pelarian Rohingya terbabit memiliki dokumen UNHCR yang sah, manakala proses dokumentasi mereka telah selesai sebelum dipindahkan.




