Pemilik Rocky tuntut keadilan, SAFM desak siasatan telus

Kes kematian seekor anjing bernama Rocky ketika operasi tangkapan di Taman Teluk Gedung Indah, Klang pada 29 Julai lalu kembali mendapat perhatian selepas pemiliknya, Rogini Dewi, tampil menceritakan kejadian yang didakwa berlaku ketika haiwan peliharaannya ditangkap.
Rogini mendakwa Rocky, yang dibela sejak kecil bersama keluarganya, mati selepas dijerat sebelum pihak berkuasa tempatan tiba di lokasi dan membuka jerutan tersebut.
Menurut Rogini, dia dimaklumkan mengenai operasi tangkapan anjing sebelum pergi ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan.
Rogini mendakwa ketika tiba di lokasi, Rocky sudah dijerut dan tidak lagi memberi tindak balas.
Beliau berkata, dia beberapa kali merayu supaya jerutan itu dilepaskan dan cuba mendapatkan bantuan untuk memotong tali tersebut.
Rogini mendakwa Rocky semakin lemah sebelum akhirnya mati ketika jerutan masih terpasang.
Sementara itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menerusi presidennya, Kalaivanan berkata pihaknya menerima aduan daripada Rogini pada 30 Julai dan membantu dari segi laporan serta proses mendapatkan saluran undang-undang.
Kalaivanan turut mempersoalkan kaedah tangkapan yang digunakan dan meminta pihak berkuasa tempatan menjelaskan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, isu berkenaan bukan hanya melibatkan seekor haiwan, tetapi turut membabitkan penilaian semula prosedur tangkapan.
Kes kini menunggu hasil siasatan pihak berkuasa termasuk laporan pemeriksaan veterinar daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor.




