TV terlalu kuat, suami mabuk tetak isteri dengan parang

Seorang wanita berusia 70 tahun cedera selepas ditetak suaminya menggunakan parang dalam kejadian di Kota Tinggi, Johor, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam selepas mangsa memasang audio televisyen terlalu kuat sehingga menyebabkan suaminya berang. Suspek, yang juga berusia dalam lingkungan 70-an, dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
Lelaki itu kemudian menetak isterinya sekali pada tangan kanan, menyebabkan luka kira-kira satu sentimeter. Mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata suspek berjaya ditahan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.




