PH tidak dijemput ke Perhimpunan Agung UMNO

Pakatan Harapan (PH) tidak dijemput ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 9 hingga 12 September ini. Perkara itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO bagaimanapun menjemput Pas sebagai membalas undangan ke Muktamar Pas Ke-72 di Kota Bharu, Kelantan yang berlangsung hujung minggu lalu. Beliau berkata jemputan itu dibuat atas dasar timbal balik antara kedua-dua parti.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata PAU 2026 tidak akan membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan mana-mana gabungan, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, perbincangan lebih tertumpu kepada kesan dan risiko terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) sekiranya sesuatu kerjasama politik dijalinkan.



