Pelajar wanita maut dicekik teman lelaki, suspek direman tujuh hari

Seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemui meninggal dunia dipercayai selepas dicekik teman lelakinya di sebuah rumah di Air Putih, Kuantan, Pahang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 19 tahun menghubungi polis pada 4.32 pagi selepas berlaku pertengkaran dengan mangsa.
Mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas katil di tingkat bawah rumah berkenaan. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tekanan pada leher sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Suspek ditahan di tempat kejadian dan direman tujuh hari sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi menentukan punca kematian, manakala polis masih menyiasat kejadian yang dipercayai berpunca daripada salah faham antara mereka.




