Pelajar Malaysia boleh sambung perubatan di Indonesia, GUN sasar 100 pelajar

GUN International College menyasarkan kira-kira 100 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian, kedokteran haiwan dan farmasi di Indonesia bagi pengambilan 2027.
Pengarah GUN International College, Prabagaran Perumal berkata, pendaftaran awal akan dibuka sebelum ujian kemasukan Universitas Gadjah Mada pada akhir Januari 2027, manakala surat tawaran dijangka diterima sekitar akhir Februari. GUN juga mempunyai kerjasama dengan 13 universiti di Indonesia yang diiktiraf sepenuhnya kerajaan Malaysia.
Menurut Prabagaran, peluang itu terbuka khususnya kepada lepasan matrikulasi yang tidak mendapat jurusan pilihan melalui UPU.
Kos pengajian di Indonesia juga lebih rendah, dengan keseluruhan pengajian dianggarkan sekitar RM200,000 berbanding kira-kira tiga kali ganda di Malaysia.
Tempoh pengajian ialah lima tahun setengah bagi perubatan, lima tahun bagi kedokteran haiwan, empat tahun bagi farmasi dan lima tahun bagi pergigian.
Pelajar dengan keputusan SPM yang baik juga boleh dipertimbangkan untuk biasiswa Foundation in Science, selain memohon pinjaman pendidikan.
Sementara itu, Education Attaché Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, R. Ahmad Romadhoni Surya Putra berkata, pihak kedutaan menyambut baik perkembangan kerjasama GUN International College dan Universitas Gadjah Mada.
Menurutnya, kerjasama itu mencerminkan hubungan erat Malaysia-Indonesia dalam bidang pendidikan dan berpotensi diperluas kepada kolaborasi penyelidikan serta pembangunan kapasiti profesional.
Dekan dan Profesor Fakultas Kedokteran Hewan Universitas Gadjah Mada, Prof. Teguh Budipitojo pula berkata, kerjasama dengan GUN sudah dimeterai sejak 2025 dan kini terdapat beberapa pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di fakulti berkenaan.
Universitas Gadjah Mada kini berada di kedudukan ke-206 QS World University Rankings dan merupakan antara universiti terbaik di Indonesia.
Prof. Teguh berkata, lebih ramai pelajar Malaysia diharap dapat mengikuti program International Undergraduate Program di universiti itu, sekali gus mengembangkan lagi kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.



