Aniaya kanak-kanak dua tahun, bekas pengasuh mengaku tidak bersalah

Bekas pengasuh taska, Nor Ain Ashikin Husin, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga mungkin menyebabkan kecederaan emosi.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah taska di Jalan Keramat Indah, Mentakab, kira-kira jam 9.45 pagi pada 11 Ogos lalu. Nor Ain Ashikin mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar yang menawarkan jaminan RM10,000, manakala peguam Mohd Falihin Kamil Mohamed Sazali memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah dan memberi kerjasama sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Dia turut dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Oktober.




