Cari akar kayu, dua beranak dikhuatiri sesat di hutan Besut

Dua beranak dikhuatiri sesat di hutan berhampiran kawasan rekreasi Air Panas La, Hulu Besut, Terengganu, ketika mencari akar kayu sejak Khamis, 15 Oktober.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, mereka dikenali sebagai Adam Adnan, 25, dan bapanya, Adnan Mohamad, 57. Mereka masing-masing berasal dari Kulim dan Alor Setar, Kedah.
Menurut beliau, pada jam 3.30 petang Jumaat, salah seorang daripada mereka menghubungi ahli keluarga untuk memaklumkan bahawa mereka tersesat dan gagal mencari jalan keluar.
Bagaimanapun, kedua-duanya tidak dapat dihubungi selepas panggilan itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan keluarga terhadap keselamatan mereka. Operasi mencari dan menyelamat kini dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung.




