Nik Nazmi akui kesilapan selepas ditahan JAIS, mohon maaf

Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau merupakan salah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes khalwat di Petaling Jaya, Rabu lalu.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata, beliau bersama rakan-rakannya pada awalnya mengadakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum meneruskannya di Petaling Jaya untuk melihat bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
Menurutnya, ketika pegawai JAIS tiba, hanya beliau dan seorang wanita berada di lokasi berkenaan.
Nik Nazmi mengakui perbuatannya sebagai satu kesalahan, namun menegaskan mereka tidak melakukan sebarang tindakan sumbang.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama dalam proses perundangan dan berharap isu itu tidak dipanjangkan menerusi media.
Dalam kenyataan hari ini, beliau memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan, termasuk ahli dan penyokong Bersama.
Beliau turut menyatakan kesediaan menerima apa jua keputusan parti susulan insiden berkenaan. Sebelum ini, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan dua individu ditahan sekitar jam 6 petang bagi membantu siasatan kes khalwat melibatkan seorang figura awam di daerah Petaling.




