PRN bertembung Deepavali, SPR digesa hormati perayaan semua kaum dalam tetapkan tarikh pilihan raya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa supaya tidak menetapkan tarikh pilihan raya yang bertembung atau terlalu hampir dengan sambutan perayaan utama masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Naib Presiden MIC, Dato’ T. Murugiah berkata, SPR perlu mengambil kira sensitiviti agama dan budaya semua kaum, termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas sebelum menetapkan tarikh pilihan raya.
Beliau berkata, masyarakat India di Melaka melahirkan rasa tidak puas hati apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan ketika mereka sedang membuat persiapan dan menyambut Deepavali.
Keadaan itu bukan sahaja mengganggu sambutan perayaan, malah menyukarkan pengundi, petugas parti dan jentera pilihan raya yang terlibat.
Murugiah berkata demikian ketika mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Nadarajah, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, Melaka, pagi tadi.
Beliau turut menggesa SPR supaya merujuk kalendar perayaan utama negara dan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan sebelum menetapkan tarikh pilihan raya, selaras dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.




