Malaysia
Tersalah tekan pedal punca pelajar maut dirempuh di sekolah

Tersalah menekan pedal minyak dipercayai menjadi punca seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut selepas dirempuh kereta di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas, Kota Bharu semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian kira-kira 1.50 tengah hari itu berlaku apabila pemandu wanita terbabas dan melanggar dua pelajar serta tiang batu surau.
Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi pelajar cedera parah dan dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II. Pemandu tidak cedera.
Laporan diterima pada 2.15 petang dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.




