Gagal keluarkan wang, lelaki mengamuk rosakkan lima mesin perbankan, cederakan pemuda

Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas disyaki merosakkan lima mesin perbankan menggunakan parang di sebuah bank di Sarikei, awal pagi tadi, kerana gagal mengeluarkan wang.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Aswandy Anis berkata, mesin yang dirosakkan ialah dua mesin ATM, dua mesin deposit tunai dan sebuah mesin deposit cek.
Seorang pemuda berusia 21 tahun yang cuba menghalang suspek cedera parah pada tangan kiri akibat terkena parang.
Suspek kemudian melarikan diri dengan Toyota Hilux secara melawan arus sebelum kenderaan itu terbabas di Jalan Masjid Lama.
Suspek akhirnya menyerah diri di IPD Sarikei. Polis turut merampas kenderaan dan parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.




