Saravanan bantah pengurangan waktu pembelajaran bahasa Tamil di sekolah, hantar surat kepada Fadhlina

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan membantah cadangan mengurangkan waktu pembelajaran bahasa Tamil di sekolah Tamil daripada 12 kepada 10 waktu seminggu menerusi rombakan kurikulum 2027.
Menerusi surat kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hari ini, yang turut disalinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saravanan berkata cadangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat India.
Beliau menegaskan bahasa Tamil bukan sekadar medium komunikasi, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk identiti budaya, warisan dan perkembangan pelajar.
Katanya, waktu pembelajaran bahasa ibunda tidak sepatutnya dikorbankan bagi memberi ruang kepada mata pelajaran atau modul baharu. Sebaliknya, beliau mencadangkan modul Pembinaan Karakter dimasukkan dalam waktu Pendidikan Moral sedia ada.
Saravanan turut menggesa Kementerian Pendidikan menyemak semula rancangan rombakan kurikulum itu serta mengekalkan atau menambah peruntukan 12 waktu pembelajaran bahasa Tamil seminggu.
Isu sama turut dibangkitkan kumpulan pendidikan Cina berhubung pembelajaran bahasa Mandarin, namun Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan guru besar masih mempunyai kuasa menambah waktu pembelajaran bahasa berkenaan.




