Polis Kelantan serbu pesta LGBT libatkan 20 lelaki tempatan

Polis Kelantan menyerbu satu acara berkaitan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berlangsung di sebuah banglo di Jalan Kemumin, Kota Bharu pertengahan Jun lalu, melibatkan lebih 20 lelaki tempatan.
Serbuan yang dijalankan hasil risikan dan maklumat awam itu mendapati acara berbayar berkenaan dipromosikan menerusi media sosial, dan dipercayai bermula waktu malam serta dirancang berlangsung hingga ke pagi.
Pemeriksaan di lokasi menemui ratusan kondom serta beberapa kotak ubat HIV yang dipercayai disediakan oleh penganjur, selain rakaman video lucah gay dalam telefon bimbit milik tiga individu. Bagaimanapun, tiada perlakuan seksual dikesan semasa serbuan dilakukan.
Peserta yang ditahan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam, dan sebahagian mereka disahkan menghidap HIV.
Ini merupakan kali pertama polis mengesan perjumpaan sedemikian di negeri itu dan pemantauan akan terus dijalankan bagi mengelak ia berulang.




