Ibu Zara Qairina mahu kubur anak digali semula, siasat punca kematian

Dua minggu selepas pemergian tragis Zara Qairina Mahathir, 13, ibunya, Noraidah Lamat tampil menggesa agar kubur anak tunggalnya itu digali semula bagi menjalankan proses bedah siasat.
Tindakan itu diambil selepas timbul keraguan dan pelbagai persoalan yang belum terjawab mengenai punca sebenar kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.
Zara dilaporkan meninggal dunia selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah pada 17 Julai lalu.
Bagaimanapun, pengebumian jenazahnya dilakukan tanpa sebarang bedah siasat kerana tiada cadangan atau panduan diberikan kepada keluarga ketika itu.
Namun, beberapa hari selepas pengebumian, keluarga mula meragui keadaan di sebalik kejadian itu apabila wujud elemen yang mencurigakan, termasuk dakwaan berkaitan kes buli dan penyebaran cerita yang tidak sahih.
Ekoran itu, Noraidah telah melantik dua peguam bagi menguruskan proses permohonan rasmi penggalian semula kubur anaknya untuk tujuan forensik.
Setakat ini, pihak polis telah merekodkan kenyataan daripada lebih 60 individu, termasuk pelajar, guru, ibu bapa serta kakitangan sekolah.
Siasatan kini berada di fasa akhir dan ibu kepada mangsa berharap proses itu dapat memberi keadilan serta jawapan terhadap kehilangan anaknya yang masih diselubungi tanda tanya.



