Kes Zara Qairina: Pegawai penyiasat gagal patuh prosedur, Bukit Aman bakal ambil tindakan

Kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir, 13, menunjukkan pegawai penyiasat tidak mematuhi prosedur apabila gagal memohon bedah siasat walaupun kematian berlaku dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata walau terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu Zara yang menandatangani akuan supaya bedah siasat tidak dibuat, pegawai penyiasat sepatutnya buat permohonan untuk melaksanakannya
Tegasnya, kes kini diambil alih oleh Pasukan Petugas Khas JSJ Bukit Aman selepas Pejabat Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan.
Sebagai rekod, Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah, sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokan hari.
Laporan bedah siasat oleh tiga pakar pada 10 Ogos mengesahkan punca kematian akibat kecederaan berpunca daripada kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak, selari dengan diagnosis awal hospital.
Inkues akan menentukan punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan elemen jenayah atau buli, selain mengenal pasti faktor yang menyebabkan mangsa jatuh.
Permohonan inkues dijangka dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan bersama Jabatan Peguam Negara, selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.




