“10,000 graduan Bangladesh boleh kerja terus selepas tamat pengajian? Malaysia terlalu baik”

Cadangan kerajaan memperkenalkan visa dipanggil graduate plus yang membolehkan kira-kira 10,000 graduan Bangladesh bekerja di Malaysia selepas tamat pengajian menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan penggiat akademik dan industri.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah menegaskan langkah itu boleh menjejaskan lagi masalah pengangguran dan pekerjaan tidak setara (underemployment) di Malaysia.
Katanya, cadangan tersebut timbul selepas pertemuan Menteri Pendidikan Tinggi, Fadhlina Sidek bersama Ketua Penasihat Bangladesh, Profesor Muhammad Yunus yang berada di Malaysia baru-baru ini.
Prof Yunus, tokoh tersohor yang membangunkan Grameen Bank, dilaporkan meminta supaya mahasiswa Bangladesh di universiti Malaysia diberikan akses pekerjaan berkemahiran tinggi sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Perkara itu turut dilaporkan akhbar di Dhaka seperti The Daily Star dan Dhaka Tribune, namun hampir tidak mendapat liputan media tempatan.
Beliau menambah, jika cadangan itu dilaksanakan, katanya, ia bukan lagi melibatkan tenaga kerja asing dalam sektor buruh kasar semata-mata, tetapi turut melibatkan peluang kerja berkemahiran tinggi dalam sektor strategik seperti semikonduktor dan kejuruteraan.
Beliau juga menegaskan isu ini bukan soal perkauman atau anti kepada pelajar luar, sebaliknya soal hak rakyat Malaysia untuk mendapatkan peluang pekerjaan setimpal dengan kelayakan mereka.
Katanya, kerajaan perlu lebih berhati-hati agar dasar yang lunak terhadap permintaan luar tidak menjejaskan kelangsungan ekonomi dan masa depan anak bangsa.




