Malaysia

Kementerian Kewangan: Tiada rancangan perkenal semula GST buat masa ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menegaskan tiada rancangan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat demi melindungi kepentingan rakyat dan perniagaan.

Menurut kementerian, pendapatan umum rakyat masih rendah dan pelaksanaan cukai menyeluruh seperti GST akan membebankan. Sebaliknya, sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kini memberikan kesan fiskal yang lebih cepat kepada kerajaan.

“Pelaksanaan GST memerlukan masa persediaan lebih panjang, sehingga dua tahun, untuk syarikat mengemas kini sistem dan mematuhi keperluan GST. SST lebih progresif kerana barangan asas dan perkhidmatan biasa tidak dikenakan cukai,” kata kementerian dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 25 Ogos.

Kementerian memaklumkan, liputan cukai perkhidmatan kini merangkumi 70% daripada kod industri MSIC berbanding 76% semasa GST. Terdapat 1,826 barangan dikecualikan di bawah SST, berbanding 607 ketika GST.

“Peratusan lebih rendah dan jumlah barangan dikecualikan yang lebih banyak menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat sambil mengekalkan kedudukan fiskal negara,” tambah kementerian itu.

Jawapan ini adalah kepada soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN–Ayer Hitam) mengenai sebab kerajaan tidak mengembalikan GST.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker