Ketua hakim wanita pertama Nepal dilantik jadi PM ketika 12,500 banduan masih terlepas

Sushila Karki, 73, bekas ketua hakim wanita pertama Nepal, dilantik sebagai perdana menteri interim ketika negara itu masih bergelut dengan krisis keselamatan selepas rusuhan antikerajaan yang meragut puluhan nyawa.
Pelantikannya dibuat Presiden Ram Chandra Poudel pada Jumaat, beberapa hari selepas Khadga Prasad Sharma Oli meletak jawatan susulan tunjuk perasaan yang bertukar ganas di Kathmandu dan beberapa bandar utama.
Kekacauan itu bukan sahaja menggegarkan pentadbiran, malah menyaksikan kira-kira 13,500 banduan meloloskan diri dari penjara di seluruh negara.
Setakat Jumaat, lebih 12,500 masih bebas meskipun ratusan berjaya ditangkap semula oleh tentera dan pasukan sempadan India.
Keadaan semakin mencabar apabila penunjuk perasaan turut merampas senjata, membakar bangunan parlimen, pejabat kerajaan serta hotel, menjadikan rusuhan ini antara yang paling ganas dalam sejarah moden Nepal.
Karki yang pernah mencatat sejarah sebagai ketua hakim wanita pertama pada 2016 kini berdepan tugas besar memulihkan kestabilan negara berpenduduk 30 juta itu sambil memastikan keselamatan awam dipulihkan.




