
Pelakon, Datuk Aaron Aziz terkejut selepas menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial, Sharina Richie, yang didakwa mahu memfailkan saman RM2 juta terhadap anak perempuannya, Dwi Ariana.
Aaron, 49, menyifatkan tindakan itu tidak wajar kerana anaknya hanya meminta penjelasan mengenai video yang memaparkan dirinya tanpa sebarang penghinaan atau serangan peribadi.
Dia bimbang tindakan tersebut menjejaskan emosi Dwi Ariana yang sedang menghadapi peperiksaan.
Menurut Aaron, isu berkenaan turut memberi kesan kepada keluarga termasuk dua anaknya di luar negara yang tertekan dengan situasi itu.
Konflik antara Aaron dan Sharina bermula selepas tular video yang memaparkan aktor itu berkongsi pandangan mengenai isu Palestin.
Namun, video tersebut sebenarnya hanyalah potongan daripada rakaman lain sehingga menimbulkan salah faham.
Sharina kemudian memohon maaf secara terbuka tetapi mendakwa masih menjadi mangsa kecaman netizen. Dia turut membuat laporan polis dan menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi diri.




