
Penganjur HYROX Malaysia memohon maaf dan bersetuju menamatkan kerjasama dengan jenama minuman keras Carlsberg bagi acara HYROX Kuala Lumpur 2026.
Menerusi kenyataan di Instagram hari ini, penganjur mengakui kesilapan kerana kurang mengambil kira sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia berhubung pengumuman kerjasama itu.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan acara itu tidak akan diluluskan selagi tajaan minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya, termasuk semua logo dan bahan promosi berkaitan.
HYROX Kuala Lumpur 2026 dijadual berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.




