Lelaki maut ditetak tiga individu, wanita ditahan bantu biasatan

Seorang lelaki maut selepas dipercayai diserang tiga lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai di Taman Banjar Jaya, kira-kira jam 3.53 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditetak menggunakan parang, manakala motif serangan masih belum diketahui.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan mangsa terbaring berlumuran darah di sebuah premis perniagaan, manakala seorang wanita dilihat cuba memberikan bantuan awal.
Kok Lian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat pergerakan mencurigakan di sekitar lokasi supaya menghubungi IPD Hilir Perak atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.




