Kelakuan mangsa selepas kejadian jadi faktor Da’i Syed dibebaskan

Mahkamah Rayuan mengambil kira tindakan seorang wanita yang masih berhubung dengan pendakwah selebriti, Da’i Syed selama beberapa bulan selepas kejadian, termasuk mengajaknya bertemu semula, sebelum mengetepikan sabitan rogol terhadapnya pada Rabu.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan pembebasan itu menerusi keputusan majoriti 2-1 selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Ketika membacakan keputusan, Azman berkata mahkamah turut meneliti mesej perbualan di Instagram dan WhatsApp antara wanita berkenaan dengan Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31.
Menurutnya, komunikasi itu menunjukkan mereka terus berhubung tanpa sebarang luahan marah, kesal atau sedih berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 11 September 2019.




