Perak catat jumlah warga emas tinggi, risiko kematian sunyi dibimbangi meningkat

Perak antara negeri yang mempunyai jumlah penduduk warga emas paling tinggi di Malaysia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan kes kematian sunyi dalam kalangan golongan berkenaan.
Kematian sunyi merujuk kepada keadaan seseorang meninggal dunia bersendirian tanpa disedari ahli keluarga atau orang sekeliling untuk tempoh tertentu. Isu ini semakin mendapat perhatian susulan perubahan struktur keluarga dan peningkatan bilangan warga emas yang tinggal bersendirian.
Perak juga merekodkan 20,948 kematian pada 2024, meningkat 0.5 peratus berbanding 20,839 kes pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Situasi itu menunjukkan keperluan untuk keluarga dan masyarakat lebih peka terhadap keadaan warga emas, terutama mereka yang tinggal seorang diri.




