Ditolak pemimpin lain, Netanyahu buat ‘u-turn’ tak jadi hadir sidang kemuncak Gaza

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan membatalkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh selepas beberapa delegasi Arab menyatakan penolakan terhadap penyertaannya.
Beliau pada awalnya dijangka membuat lawatan mengejut ke mesyuarat itu susulan perbincangan bersama Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Namun, Kaherah kemudian dimaklumkan bahawa Netanyahu “tidak boleh diterima” berikutan ancaman boikot daripada beberapa negara, termasuk Iraq.
Beberapa pemimpin seperti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez sebelum ini lantang menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Pejabat Presiden Mesir pada mulanya mengumumkan kehadiran Netanyahu, namun kurang sejam kemudian pihak Israel mengesahkan pembatalan penyertaannya.
Langkah tersebut dilihat sebagai pusingan-U diplomatik bagi mengelak konfrontasi terbuka dengan pemimpin Arab yang menolak pengiktirafan terhadap Israel.



