Isu ketiadaan bahasa Tamil pada ‘Welcome Wall’ di Menara KL selesai

Isu tular berkaitan ketiadaan bahasa Tamil pada paparan Welcome Wall di Menara Kuala Lumpur akhirnya selesai selepas Kementerian Komunikasi mengambil tindakan segera.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, memaklumkan bukan sahaja bahasa Tamil ditambah, malah bahasa Kadazan dan Iban turut dimasukkan bagi mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Jelas Nie Ching, ‘Welcome Wall’ pada asalnya dibina pada November 2021 dengan memaparkan lebih 20 bahasa dunia termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab, Jepun, serta “Namaste” (Sanskrit).
Kekurangan itu mula dipersoalkan awal September lalu, apabila media Tamil tempatan menyiarkan kritikan berhubung ketiadaan bahasa Tamil yang merupakan antara bahasa utama negara.
Mengambil maklum perkara itu, Teo Nie Ching segera mengarahkan penambahbaikan pada 9 September lepas dan pihak pengurusan Menara KL turut memberi kerjasama pantas, melakukan semakan serta melaksanakan pemasangan baharu dalam tempoh 20 hari.




