Kenderaan Singapura gagal bayar saman VEP tidak dibenar keluar dari Malaysia bermula 15 November

Kenderaan asing terutama dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) tidak dibenar keluar dari Malaysia selagi belum membayar saman bermula 15 November ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan tegas itu melibatkan semua kenderaan persendirian individu dan syarikat yang tiada VEP, tamat tempoh, atau masih berstatus pradaftar.
Pemilik perlu melunaskan saman dan mendaftar VEP sebelum dibenarkan melepasi sempadan.
Sebelum ini, pemandu asing hanya diberikan notis saman dan peringatan, namun JPJ kini melaksanakan penguatkuasaan penuh di seluruh negara.
Bayaran saman boleh dibuat di pejabat JPJ, Kaunter Mobile JPJ, pusat pendaftaran VEP di Danga Bay, atau secara dalam talian melalui myEG.
Sejak pelaksanaan VEP pada 1 Julai lalu, 55,486 kenderaan diperiksa dan 4,028 kompaun dikeluarkan dengan nilai mencecah RM1.2 juta.




