Majikan takut salah pilih pekerja punca ramai masih menganggur – MEF

Pasaran kerja Malaysia dilihat semakin perlahan apabila majikan kini lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja, termasuk menangguhkan atau mengelak menawarkan pekerjaan kepada calon yang dianggap kurang sesuai.
Penasihat Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata keadaan itu berpunca daripada ketidakpadanan kemahiran, selain kos latihan pekerja baharu yang semakin tinggi.
Menurutnya, risiko mengambil pekerja yang tidak memenuhi keperluan juga boleh memberi kesan kewangan besar, ditambah dengan peraturan buruh yang ketat, menyebabkan syarikat memilih untuk tidak mengisi kekosongan jawatan.
Situasi itu berlaku walaupun terdapat peningkatan peluang pekerjaan, dengan kekosongan jawatan mencecah 107,000 pada Mac, manakala kadar pengangguran kekal 2.9 peratus.
Secara keseluruhan, cabaran utama kini bukan kekurangan pekerjaan, tetapi ketidaksesuaian antara kemahiran pencari kerja dan keperluan industri yang semakin dipacu teknologi dan automasi.




