MB Perlis letak jawatan kerana ditekan lulus projek besar – Hadi Awang

Krisis politik di Perlis didakwa berpunca daripada tekanan supaya projek-projek besar diluluskan tanpa mematuhi peraturan, termasuk unsur penyelewengan dan rasuah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli enggan tunduk kepada tekanan tersebut kerana mahu mengekalkan tadbir urus berintegriti, sekali gus mencetuskan konflik dalaman.
Pergolakan memuncak apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis, terdiri daripada tiga ADUN Pas dan lima daripada Bersatu, menarik sokongan terhadap Mohd Shukri dan menyerahkan akuan bersumpah kepada Istana Perlis.
Situasi itu berakhir apabila Mohd Shukri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar secara sukarela atas faktor kesihatan.
Selain isu projek, krisis turut dikaitkan dengan perebutan jawatan oleh segelintir pihak.
Abdul Hadi menegaskan prinsip Pas dan ajaran Islam menolak pemberian jawatan kepada individu yang menuntutnya kerana perebutan kuasa sering mencetuskan perpecahan dan menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.



