Panggillah ‘yeye’ atau apa pun, ia keji dan bercanggah dengan Islam – Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan budaya hedonisme dan perlakuan tidak bermoral dalam kem tentera adalah perbuatan keji, tidak berakhlak serta bercanggah dengan Islam.
Beliau menekankan bahawa individu yang terlibat akan disingkirkan daripada perkhidmatan dan tiada wanita boleh dijadikan objek seks atau hiburan di mess pegawai dan Wisma Perwira.
Ia selaras dengan larangan sedia ada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disokong garis panduan ketat serta peranan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Selain isu moral, Mohamed Khaled turut mengingatkan aspek disiplin anggota, termasuk penyalahgunaan waktu kerja dan tingkah laku tidak wajar di media sosial, yang boleh mencemarkan imej MINDEF dan ATM serta akan dikenakan tindakan tegas.



